SEPTEMBER 2022

Dua Syarikat Korea Minat Melabur Dalam Industri Petrokimia


SEOUL: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, hari ini menemui dua syarikat Korea yang berminat untuk melabur dalam industri berkaitan petrokimia di Sarawak.

Dua syarikat terbabit berminat melabur dalam pengilangan produk yang merupakan sebahagian daripada rangkaian kompleks petrokimia yang sedang dibangun dan diperkenalkan.

Bintulu merupakan tempat kebanyakan aktiviti petrokimia di Sarawak dan mempunyai infrastruktur berkaitan bagi menyokong pembangunan pelaburan berkenaan.

Pada masa sama, hanya ada beberapa projek petrokimia sedang dibangunkan di Bintulu yang boleh menyediakan sinergi bagi pelaburan berkenaan yang kemudian boleh mengembangkan lagi nilai rangkaian bagi industri petrokimia di negeri ini.

Premier Sarawak mengalu-alukan pelaburan itu sejajar dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 dengan industri petrokimia boleh membantu mengembangkan industri di negeri ini bagi mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak akan membantu mempercepatkan pelabur bagi membangunkan industri yang dicadangkan.

Sumber dari : Jiwa Bakti